Sabtu, 25 Februari 2017

SULALATUS SALATIN-54


Image result for hukuman bunuh raja melayu purba


Akibat Tiada Menyembah ke Melaka

 Alkisah maka tersebut lah perkataan Kampar, Maharaja Jaya nama rajanya, Pekan Tua negerinya, asalnya daripada raja Minangkabau; tiada ia menyembah ke Melaka, Maka Sultan Mansur Syah menitahkan Seri Nara Diraja menyerang Kampar. Maka Seri Nara Diraja pun berlengkaplah. Setelah sudah lengkap, maka Seri Nara Diraja pun pergilah bersama-sama dengan Sang Setia, dan Sang Naya, dan Sang Guna dan segala hulubalang sekalian; Khoja Baba pun pergi mengiringkan Seri Nara Diraja.

Setelah datang ke Kampar, maka dipersembahkan orang kepada Maharaja Jaya, mengatakan: "Orang Melaka datang menyerang kita." Setelah Maharaja Jaya mendengar khabar Seri Nara Diraja datang menyerang dia itu, maka Maharaja Jaya memberi titah kepada mangkubuminya, Tun Demang namanya, suruh mengampungkan rakyat Kampar. Maka Tun Demang pun keluarlah mengampungkan segala rakyat dan berhadir segala kelengkapan perang. Setelah itu maka Seri Nara Diraja pun datanglah. Maka segala orang Melaka pun naiklah ke darat, lalu dikeluari oleh Maharaja Jaya dengan ke­naikan gajah, dan Tun Demang di bawah gajah, Senjatanya lembing. Maka bertemulah orang Melaka dengan orang Kampar, lalu berperang terlalu ramai; ada yang.bertikamkan.lem­bing, ada yang bertetakkan pedang dan cipan, ada yang ber­panah-panahan. Maka daripada kedua pihak rakyat pun ba­nyaklah matinya, dan darah yang mengalir di bumi. Adapun perang itu seperti dalam hikayat. Daripada sangat tempuh orang Melaka, maka orang Kampar pun undur.

Setelah dilihat oleh Maharaja Jaya, lalu ditempuhkannya gajahnya pada orang Melaka, bersama-sama dengan Tun Demang. Barang di mana ditempuhnya, mayat berkaparan di medan, dan darah mengalir di bumi. Maka segala orang Melaka pun habis lari lalu ke air, melainkan Seri Nara Diraja dan Khoja Baba yang lagi berdiri, tiada bergerak daripada tempatnya. Maka Maharaja Jaya dan Tun Demang pun datanglah bersama-sama dengan segala orang Kampar yang banyak itu; rupa Senjata seperti hujan mencurah datangnya ke hala Seri Nara Diraja dan Khoja Baba. Maka kata Seri Nara Diraja pada Maharaja Jaya, seraya menimang lembingnya, "Tuanku, tanah sedikit ini hendak sinda pohonkan, jikalau digagahi juga, hendak diambil; lembing anugerah paduka kakanda ini sinda persembahkan di dada."

Maka oleh Tun Demang, ditikamnya Khoja Baba dengan lembingnya, kena rusuknya, tetapi menyisip. Maka oleh Kho­ja Baba diuraikannya Tengkoloknya; maka katanya pada Seri Nara Diraja, "Orang Kaya, beta luka!" Maka dibebat oleh Seri Nara Diraja. Akan Khoja Baba Senjatanya panah perisai; maka dipanahnya kena pelipisan Tun Demang terus menye­belah. Maka Tun Demang pun tersungkur di bawah gajah Maharaja Jaya. Maka kata Khoja Baba, "Apa rasa Tun De­mang?" Setelah Maharaja Jaya melihat Tun Demang mati, maka baginda pun terlalu marah, segera menampilkan gajah­nya mengusir Seri Nara Diraja. Maka oleh Seri Nara Diraja, ditikamnya dengan lembing yang ditangannya itu, kena dada Maharaja Jaya, terus ke belakangnya, lalu jatuh dari atas gajahnya ke tanah; maka Maharaja Jaya pun matilah. Setelah orang Kampar melihat Maharaja Jaya dan Tun Demang sudah mati itu, maka sekaliannya pun pecahlah, lalu lari, Maka diperikut oleh orang Melaka, dibunuhnya, lalu di­masukinya ke dalam kota sekali.

Maka orang Melaka pun merampaslah, terlalu banyak beroleh rampasan, dan kota itu, pun dibakarnya sekali. Setelah itu maka Seri Nara Diraja pun kembalilah dengan kemenangannya; gajah Maharaja Jaya itu pun dibawanya juga. Berapa lamanya sampailah ke Melaka. Maka Seri Nara Diraja dengan segala hulubalang pun masuk­lah mengadap Sultan Mansur Syah; baginda pun terlalulah sukacita mendengar negeri Kampar alah itu. Baginda memberi persalinan akan Seri Nara Diraja, dan Sang Setia, dan Sang Guna, dan Sang Naya masing-masing pada kadarnya.

Maka akan Khoja Baba digelar Akhtiar Muluk, dialah beranakkan bapa Khoja Bulan, Khoja Bulan beranakkan Khoja Muhammad Syam, bapa Khoja Umar dan Khoja Buang, dan Bi Jaban duduk dengan Paduka Seri Indera Tun Mat, beranakkan Tun Kitam dan Tun Mariam dan Tun Kecik; akan Tun Mariam duduk dengan Seri Akar Raja yang bernama Tun Utusan, cucu Seri Pikrama Raja Tun Tahir, maka Paduka Megat beranak dua orang perempuan, Tun Cembul seorang namanya, duduk dengan Seri Asmara Tun Hitam, beranakkan Tun Jamal dan Tun Muhammad dan Tun Kala pun namanya, duduk dengan Tun Gombak, anak Datuk Sekudai; seorang lagi yang perempuan Tun Putih namanya, duduk dengan Tun Anum, anak Datuk Paduka Tuan, bergelar Seri Bija Wangsa, yang lelaki bernama Tun Pandak; seorang lagi anak Paduka Megat dengan Tun Mariam, Tun Kaca namanya, duduk dengan Tun Pahlawan, beranakkan Tun Jemaat dan Tun Tipah. Ada­pun Tun Kuni anak Paduka Seri Indera, Tun Amat, duduk dengan Tun Pua, anak Paduka Seri Raja Muda bernama Tun Hussain, beranakkan Tun Sulong, duduk dengan Megat Isak, beranakkan Megat Dagang dan Megat Kelang, bergelar Paduka Megat.
Akan Akhtiar Muluk, dianugerahi pedang, disuruh berdiri di ketapakan balai, sama-sama dengan bentara yang banyak. Maka Kampar itu diserahkan pada Seri Nara Diraja; maka Seri Nara Dirajalah yang pertama meletakkan di Kampar itu Adipati.

SULALATUS SALATIN-53


Image result for istana melaka terbakar
Ramalan Bendahara Paduka Raja

Hatta berapa lamanya maka Seri Nara Diraja pun sakit; *Dalam naskhah-naskhah Shellabear dan Abdullah ditegaskan bahawa alat-alat kerajaan Nila Utama turut terbakar.  setelah diketahuinyalah dirinya akan mati, maka disuruhnya panggil Bendahara Paduka Raja. Setelah Bendahara datang, maka kata Seri Nara Diraja pada Bendahara, "Adapun adik , sakit beta sekali ini sahaja ajal beta rasanya; akan anak beta budak-budak belaka, pertama kepada Allah Taala beta serah­kan, kemudian kepada adiklah. Tambahan ia pun sedia anak adik. Suatu pun tiada pusaka beta tinggalkan akan dia, me­lainkan hanyalah emas lima buah candu peti, dua-dua orang membawa dia pada satu; kerana ia pun lima bersaudara, se­kaliannya itu perintah adiklah."
Setelah itu maka Seri Nara Diraja pun kembalilah ke rahmat Allah Taala, Maka Sultan Mansur Syah pun datang menanamkan Seri Nara Diraja, di­anugerahi payung, gendang, serunai, nafiri, nagara. Setelah sudah ditanamkan maka raja pun kembalilah ke istana bagin­da dengan dukacitanya ak an Seri Nara Diraja. Maka anak Seri Nara Diraja semuanya diam pada Bendahara Paduka Raja.

Maka pada suatu malam Bendahara turun hendak sem­bahyang subuh, maka dilihat oleh Bendahara betul pada kepala Tun Mutahir bercahaya menerus ke langit. Maka di­Hampiri oleh Bendahara, dilihatnya Tun Mutahir. Maka dengan sekejap juga cahaya itu pun padamlah. Maka kata Bendahara akan Tun Mutahir, “Budak ini kelak menjadi Orang Besar- besar. Daripada Hamba pun lebih kebesarannya, tetapi tiada kekal. “Maka oleh Bendahara segala candu peti yang ditinggalkan Seri Nara Diraja akan anaknya itu dituanginya timah, supaya jangan dapat dibuka orang lagi. Maka makan pakai Tun Mutahir Tun Tahir pada Bendahara Paduka Raja. Ada seorang lagi anak Seri Nara Diraja, Tun Abdullah namanya, lain bondanya, terlalu olahan. Jika ia membuang kuku tiga hari maka sudah. Jika berkuda pada baying-bayang panas, berpenanak membaiki diri. Jika pada pakaian, tewas Tun Tahir dan Tun Mutahir oleh Tun Abdullah, kerana bondanya ada.

Hatta berapa lamanya, Tun Tahir dan Tun Mutahir pun besarlah; akil balighlah ia, tahu lah ia berkehendak hati Sendiri. Maka Tun Tahir dan Tun Mutahir pun datang kepada Benda­hara Paduka Raja, sembah Tun Tahir dan Tun Mutahir pada Bendahara Paduka Raja, "Tunku , akan sekarang sahaya semua sudah besarlah, orang pun adalah datang kepada sahaya, dan sahaya pun hendak bermain, bergurau dengan segala sahabat  handai sahaya; perjamu apa yang sahaya perjamukan? Hen­dak sahaya beri makan sirih, apa yang sahaya belikan? Hen­dak pun sahaya mencari, dengan apa yang sahaya carikan? Sahaya dengar ada bapa sahaya meninggalkan sahaya emas sebuah candu peti seorang, jikalau ada ampun kurnia datuk, hendak sahaya pohonkan; hendak sahaya suruh carikan."

Image result for istana melaka terbakar

Maka sahut Bendahara, "Sungguh ada bapamu meninggalkan engkau emas sebuah candu peti seorang, akan emas itu emasku, tiada kuberikan kepadamu. Jikalau engkau hendak mencari biarlah kupinjamkan emas· orang, barang sepuluh tahil seorang," Maka sembah Tun Tahir dan Tun Mutahir, "Baiklah tunku, yang mana sabda datuk tiada sahaya lalui." Maka oleh Bendahara diberinya Tun Tahir dan Tun Mutahir emas sepuluh tahil seorang. Maka oleh Tun Tahir dan Tun Mutahir diambilnya emas itu, dikirimkannya pada orang mencari. Setelah setahun antaranya, maka Tun Tahir dan Tun Mutahir pun datang pada Bendahara, persembahkan emas yang sepuluh tahil seorang itu. Maka kataBendahara, "Emas apa ini?" Maka sembah Tun Tahir dan Tun Mutahir, "Emas yang tunku pinjamkan pada sahaya itu." Maka kata Bendahara, "Ada berapa engkau beroleh labanya?" maka sembah Tun Tahir dan Tun Mutahir, "Adalah sahaya tebuskan dengan seorang; lain dan itu sahaya belanjakan."
Maka kata Bendahara, "Panggil penghulu dengan si Tahir dan si Mutahir." Maka keduanya datang. Maka sabda Bendahara Paduka Raja pada penghulu dengan Tun Tahir, "Mana surat daftar dengan si Tahir?" Maka sembahnya, "Ada tunku," maka dipersembahkannya surat itu, maka dibaca oleh Bendahara. Maka kata Bendahara Paduka Raja, "Siapa nama dengan yang baharu ditebus itu?" Maka sembah penghulu dengan itu "Si Datang tunku, namanya." Maka sabda Bendahara, "Ini bukan ada nama si Datang." Maka sembah penghulu dengan .itu, "Si Datang lama lain, tunku, Si Datang baharu lain."

Maka sabda Bendahara Paduka Raja, "Panggil keduanya, bawa ke mari." Maka keduanya pun datanglah. Maka sabda Bendahara, "Mana si Datang baharu, yang mana si Datang lama?" Maka sembah penghulu dengan, "Itu si Datang lama, yang ini si Datang baharu, tunku." Maka sabda Bendahara pada penghulu dengan, Tun Mutahir, "Siapa nama dengan yang baharu ditebus itu?" Maka sembah penghulu dengan, "Itu si Lamat, tunku, namanya." Maka sabda Bendahara, "Yang mana rupanya si Lamat itu?" Maka sembah penghulu dengan itu, "Ini si Lamat lama, yang ini si Lamat baru tunku." Maka sabda Bendahara Paduka Raja, "Baiklah, taruh olehmu baik-baik. " Maka kata Bendahara pada Tun Tahir dan Tun Mutahir, "Mengapa tah engkau pulangkan emas ini, kerana emas ini emasku, ambillah akan engkau, dan emas yang dua buah can­du peti itu pun aku pulangkanlah kepadamu.
Maka Tun Tahir dan Tun Mutahir pun kembalilah ke rumahnya, membawa emas dua buah candu peti itu, maka kedua-duanya menyuruh mencari. Adapun akan Tun Mutahir selamanya ia menyuruh men­cari itu, tiada pernah rosak, maka ia menyuruh belayar juga. Setelah besarlah ketiganya maka Tun Tahir dijadikan oleh Sultan Mansur Syah Penghulu Bendahari menggantikan ayah­nya, bergelar Seri Nara Diraja juga; dan Tun Mutahir dijadi­kan Temenggung, bergelar Seri Maharaja, dan Tun Abdullah bergelar Seri Nara Wangsa. Wallahu a'lamu bis-sawab wa ilaihil-m.arii'u ical-ma'ab



SULALATUS SALATIN-52

Image result for istana melaka terbakar


Istana Sultan Mansur Syah Terbakar

Hampirlah akan sudah istana itu, maka Sultan Mansur Syah pun berangkatlah ke istana itu hendak melihat dia. Maka raja pun berjalanlah dalam istana itu, maka segala Hamba raja berjalan dari bawah istana.
 Maka Sultan Mansur Syah pun berkenan melihat perbuatan istana itu, maka baginda lalu pergi ke penanggahan. Maka dilihat oleh Sultan Mansur Syah satu rasuk penanggahan itu putih lagi kecil; maka titah baginda, "Apa rasuk itu?" Maka  sembah segala raja raja itu, "Ibul, tuanku." Maka titah Sultan Mansur Syah, "Hendak bangat gerangan Bendahara." Setelah itu maka baginda pun kembalilah; tatkala itu Tun Indera Segara mengiring baginda. Adapun akan Tun Indera Segara itulah asal sida-sida, ma­ka Tun Indera Segara pergi memberitahu Bendahara mengata­kan Yang Dipertuan murka oleh rasuk itu kecil. Setelah didengar Bendahara kata Tun Indera Segara itu, maka Bendahara pun segera menyuruh beramu rasuk kulim, sehasta lebamya dan sejengkal tebalnya.

Maka dengan sesaat itu juga datanglah rasuk itu dibawa orang; maka Bendahara telah Sendirinya pergi ke penanggahan mengenakan rasuk itu. Maka bunyi orang bekerja itu kedengaran pada Sultan Mansur Syah, maka baginda bertanya, "Mengapa maka orang riuh itu?" Maka sembah Tun Indera Segara, "Bendahara tuanku, mengganti rasuk yang kecil tadi Sendirinya; Bendahara memahat mengenakan dia." Maka Sultan Mansur Syah segera menyuruh membawa persalin akan Bendahara dengan selengkapnya.
Maka pada zaman itu Tun Indera Segara dinamai orang Syah­mura. Maka istana itu pun sudah, maka Sultan Mansur Syah menganugerahi persalin akan segala orang yang bekerja itu. Setelah itu maka Sultan Mansur Syah pun pindahlah ke istana yang baharu itu.

Hatta tidak berapa lamanya, maka dengan takdir Allah Taala mahligai itu pun terbakarlah. Tiba-tiba di atas kemuncaknya api; tiadalah sempat lagi. Maka baginda dengan Raja Perempuan serta dayang-dayang sekaliannya habis turun ke istana lain; suatu pun harta raja tidak terbawa, sekaliannya tinggal dalam istana itu. Maka orang pun datang terlalu banyak hendak berbela api itu, tiada terbela lagi. Maka harta dalam istana itulah yang diperlepas orang; tetapi timah atap istana itu hancur, cucurlah turun seperti hujan yang lebat. Maka seorang pun tiada berani masuk mengambil harta, maka Ben­dahara hadir berdiri menghadapi segala orang berlepas harta raja.

Maka segala anak tuan-tuan pun berebutlah masuk ber­bela segala harta raja yang dalam istana itu; tatkala itulah segala anak tuan-tuan itu banyak jadi gelaran. Orang yang pertama-tama masuk itu Tun Isap namanya, ialah menghulu­-hulu orang masuk dengan pekis geramnya. Maka dibawanya  harta raja itu keluar; tetapi sekali sahaja, sudah itu tiadalah masuk lagi, maka dinamai orang Tun Isap Berakah. Adapun Tun Mayuddin hendak masuk takut akan romanya hangus, kerana tubuhnya berbulu belaka, maka dinamai orang Tun Mai Ulatbulu; dan akan Tun Ibrahlm hendak masuk takut, kadar berjalan keliling istana juga, maka dinamai orang Tun Ibrahlm Pusing Langit Berkeliling; dan akan Tun Muhammad, sekali-sekali ia masuk, kira-kira bawakan dua tiga orang di­bawanya, maka dinamai orang Tun Muhammad Unta. Adapun akan Hang Isa, orang sekali masuk membawa, ia dua tiga kali masuk keluar, maka dinamai orang Hang Isa Pantas. Maka segala harta yang dalam istana itu pun habislah lepas, tiada berapa yang terbakar.

*Maka mahligai itu pun habislah hangus; maka api itu pun padamlah. Maka Sultan Mansur Syah pun memberi anugerah akan segala anak tuan-tuan itu, masing-masing pada kadamya. Yang patut bersalin dianugerahi persalin, yang patut berselat dianugerahi selat, yang patut bergelar digelar baginda.
Maka Sultan Mansur Syah pun memberi titah pada Ben­dahara menyuruh berbuat istana dan balairung. Dalam sebulan itu juga dikehendaki sudah. Maka Bendahara pun mengerah­kan orang membuat istana dan balairung. Orang Ungaran ber­buat istana besar, orang Sugal sebuah istana, dan orang Buru sebuah istana, dan orang Suir sebuah istana, dan orang Pancur Sempung membuat balairung, orang Sudir membuat balai penghadapan, dan orang Merba membuat penanggahan, dan orang Sawang membuat balai jawatan di sisi balairung, orang Kundur membuat balai apit pintu keduanya, dan orang Suntai berbuat balai kendi, orang Melai berbuat pemandian, orang Upang berbuat bangsal gajah, orang Tungkal membuat masjid, orang Bintan membuat pagar istana, orang Muar membuat kota wang.

Adapun istana itu baik pula daripada dahulu. Setelah sudah sekaliannya, maka Sultan Mansur Syah. pun diamlah di istana baharu itu kararlah selama-lamanya,

SULALATUS SALATIN-51


Image result for pertarungan silat

Pertarungan Hang Tuah-Hang Jebat

Setelah datang ke bawah tangga istana itu, maka Hang Tuah pun menyeru Hang Jebat, disuruhnya turun. Setelah Hang Jebat mendengar orang menyeru ia turun itu, maka dipandangnya ke bawah, dilihatnya Hang Tuah memanggil dia. Maka kata Hang Jebat, "Hei Tuah! Adakah lagi engkau? Ada­lah sangka aku engkau sudah mati, maka aku mahu membuat pekerjaan terlanjur demikian ini. Hanya kita sekarang bertemulah sama sebesi; marilah engkau naik, supaya kita ber­main." Maka kata Hang Tuah, "Baiklah!"

Maka Hang Tuah pun naiklah. Baharu dua tiga mata anak tangga maka diterpa oleh Hang Jebat. Maka Hang Tuah pun turun. Maka naik pula; itu pun demikian juga. Setelah dua tiga kali demikian maka kata Hang Tuah pada Hang Jebat, ''Jikalau engkau sungguh lelaki, marilah engkau turun, kita bertikam sama seorang supaya temasya orang melihat kita." Maka kata Hang Jebat, "Bagaimana aku akan turun? Kerana orang lain datang menikam aku." Maka kata Hang Tuah, "Seorang pun tiada aku beri me­nolong aku, hingga sama seorang juga kita bertikam." Maka kata Hang Jebat, "Di mana pula demikian? Jikalau aku turun nescaya ditikam orang. Jika engkau hendak membunuh aku, marilah engkau naik. " Maka kata Hang Tuah, "Bagaimana aku akan naik? Baharu semata dua anak tangga, sudah engkau terpa aku. Jika engkau hendakkan aku naik, menyiah engkau sedikit." Maka kata Hang Jebat, "Baiklah! Naik engkau!" maka Hang Jebat pun menyiah sedikit. Maka Hang Tuah segera me­lompat naik. Dilihatnya ada pada dinding istana itu sebuah utar-utar kecil, maka segera diambil oleh Hang Tuah.

Related image

Maka bertikamlah Hang Tuah dengan Hang Jebat sama seorang. Hang Tuah berutar-utar, Hang Jebat tiada; tetapi akan Hang Tuah bertikam itu tiada tetap kakinya, terketar-ketar laku­nya menyalahkan tikam Hang Jebat itu, miskinan kerana lenguh bekas dipasung. Maka dipandang oleh Hang Tuah gundik raja yang dibunuh dan dihiris Hang Jebat dari muka lalu ke farajnya dan ditelanjanginya; maka oleh Hang Tuah sambil bertikam itu dikuiskannya kain perempuan itu dengan kakinya, seperti diselimuti, tertutup semua tubuhnya.
Belas pula mendengar Hang Tuah baharu lepas daripada pasungannya, berdiri lagi belum tetap baik, maka ia bertikam itu kemamar-kemamar bahasa lakunya. Maka keris Hang Tuah tertikam pada papan dinding istana itu, lekat kerisnya; maka hendak ditikam oleh Hang Jebat, maka kata Hang Tuah, "Adakah adat lelaki orang demikian? Jika engkau sungguh  lelaki, berilah aka menanggalkan kerisku dahulu," Maka kata Hang Jebat. "Tanggalkan kerismu." Maka Hang Tuah pun menanggalkan kerisnya, diperbaikinya. Maka bertikam pula ia dengan Hang Jebat, dua tiga kali keris Hang Tuah tertikam kepada tiang dan dinding, Disuruh oleh Hang Jebat tanggal­kan, Moga-moga dengan takdir Allah Taala maka Hang Jebat pun tertikam pada dinding pintu, lekat kerisnya. Maka segera ditikam oleh Hang Tuah dari belakangnya terus ke hulu hati.

Maka kata Hang Jebat, "Hei Tuah! Demikiankah lelaki me­nikam mencuri dan mengubah waadnya? Engkau dua tiga kali lekat kerismu, aku suruh tanggalkan juga; aku sekali lekat kerisku, engkau tikam.," Maka sahut Hang Tuah "Siapa ber­setia dengan engkau orang derhaka." Maka ditikam pula seliang lagi, maka Hang Jebat pun matilah.

Related image

Setelah sudah Hang Jebat mati, maka Hang Tuah pun turunlah dari istana itu, pergi mengadap Sultan Mansur Syah. Terlalulah sukacita baginda, maka segala pakaian yang di­pakai baginda itu, semuanya dianugerahkan baginda kepada Hang Tuah, Maka bangkai Hang Jebat pun ditarik oranglah, maka segala anak bininya semuanya habis diumbut, datang kepada kaki tiang dan tanah bekas rumah pun habis digali dibuangkan ke laut.
Setelah itu maka Sultan Mansur Syah pun melekatkan gelar "Laksamana itu akan Hang Tuah, dan diarak berkeliling negeri anak raja-raja. Maka didudukkan setara Seri Bija Diraja, Hang Tuah lah pertama-tama jadi laksamana, disuruh memikul pedang kerajaan berganti-ganti dengan Seri Bija Diraja: kerana adat dahulu kala Seri Bija Diraja memikul pedang kerajaan itu berdiri di tingkat kelek-kelekan dan Lak­samana pun mulanya berdiri juga, setelah penat rasanya, maka disangkutkan pantatnya pada birai kelek-kelekan; tiada siapa menegur kerana ia Orang Besar-besar, Hatta dengan demikian lain duduklah ia dikelek-kelekan, maka menjadi adatlah datang sekarang orang memikul pedang kerajaan duduk dikelek-kelekan kiri,.

Adapun Seri Nara Diraja dianugerahi baginda Serting Ujung itu semuanya sekali. Adapun Serting Ujung itu dahulukala berbahagi dua dengan Bendahara; ada penghulunya, Tun Tuakal namanya. Ada salahnya sedikit kepada Sultan Mansur  Syah, maka dibunuh baginda. Maka orang Serting Ujung tidak­lah keluar lagi, sebab penghulunya mati itu, maka datang sekarang orang Sungai Seriing Ujung itu semuanya kepada Seri Nara Diraja, sampai kepada anak cucunya, demikianlah zaman Melaka.

Adapun akan Sultan Mansur Syah pun pindahlah, tiada mahu diam lagi pada istana tempat Hang Jebat mati itu. Maka baginda memberi titah kepada Bendahara Paduka Raja, menyuruh membuat istana. Maka Bendahara Seri dia mengadap dia, kerana adat Bendahara pegangannya Bintan. Adapun besar istana itu tujuh belas ruang, pada seruang tiga-tiga depa luasnya; besar tiangnya sepemuluk, tujuh pangkat kemuncaknya. Pada antara itu diberinya berkapa-kapa, pada antara kapa-kapa itu diberinya bumbungan melintang dan bergajah­ menyusu; sekaliannya bersayap layang-layang, sekaliannya itu diukir dan bersengkuap. Pada antara Sengkuap itu diper­buatnya belalang bersagi; sekaliannya dicat dengan air emas. Kemuncaknya kaca merah, apabila kena sinar matahari, bemyala-nyala rupanya seperti manikam. Akan dinding istana itu sekaliannya berkambi, maka ditampali dengan cermin China yang besar, apabila kena panas matahari bemyala-nyala rupanya, kilau-kilauan tiada nyata benar dipandang orang. Adapun rasuk istana itu kulim, sehasta lebamya, dan sejengkal tiga jari tebalnya. Akan birai istana itu dua hasta lebamya, dan tebalnya sehasta, diukirnya rembatan pintu istana itu empat puluh banyaknya, semuanya bercat dengan air emas. Terlalu indah perbuatan istana itu, sebuah pun istana raja yang di bawah angin ini tiada sepertinya pada zaman itu. Istana itulah yang dinamai orang 'Mahligai Hawa Nafsu'; atapnya tembaga dan timah disiripkan.

Related image

SULALATUS SALATIN-50

Image result for raja raja melayu purba


Sulatus Salatin: Sejarah Melayu VII

Hang Jebat Kesiangan di Istana

Pertarungan Hang Tuah-Hang Jebat
 
Istana Sultan Mansur Syah Terbakar

Ramalan Bendahara Paduka Raja

Akibat Tiada Menyembah ke Melaka

Sesudah Kampar, Siak Pula

Ditolak Bumi Melaka

Juara Catur

Disuruh Merompak ke Ujung Tanah

Kitab Duri'l-Mazlum
Hang Jebat Kesiangan di Istana

HATTA dalam antara itu Hang Kasturi pun berkendak de­ngan seorang dayang-dayang dalam, yang dipakai raja, tetapi hasratnya yang sah Hang Jebat yang empunya pekerjaan. Hang Kasturilah yang bergelar Seri Diraja Dewa, anak cucunyalah 'Perhangan' yang asal zaman Melaka. Maka Hang Jebat kesiangan di dalam istana, lalu ia hendak mengamuk. Maka Sultan Mansur Syah dengan Raja Perempuan serta dayang-dayang perwara sekalian turunlah dari istana itu, pindah. ke istana yang lain. Maka Hang Jebat pun dikepung oranglah. Maka Sultan Mansur Syah pun semayam di balai kecil menghadapi orang mengepung Hang Jebat itu. Bendahara Paduka Raja dengan segala Orang Besar-besar hulubalang se­kaliannya ada belaka mengadap. Rupa manusia sesak penuh tiada bersela lagi; rupa jebang perisai berlapis-lapis, tombak lembing seperti ranggas, tetapi seorang pun tiada dapat me­naiki Hang Jebat itu.

Adapun pada zaman itu Hang Jebat bukan barang-barang orang, di bawah Hang Tuah dialah yang terbilang. Maka oleh Hang Jebat semua pintu istana itu dikandangnya; hanya satu pintu yang di hadapan jua dibukanya. Maka segala talam, kerikal, batil, ceper, dulang gangsa, dikaparkannya di lantai istana itu, Maka di atas itulah ia berlari ke sana sini, gemeren­cing bunyinya, memberi hebat yang mendengar dia. Maka Sultan Mansur Syah pun menitahkan orang menaiki Hang Jebat; maka tiada seorang pun bercakap menaiki dia.
Maka Sultan Mansur Syah pun mengenang Laksamana Hang Tuah, titah baginda: "Sayangnya si Tuah tiada, jikalau ada si Tuah, dapat ia menghapuskan malu ku!" Setelah mendengar titah baginda mengenang Hang Tuah itu, maka Bendahara Paduka Raja dan Seri Nara Diraja dan segala Orang Besar-besar pun bermohonlah hendak menaiki Hang Jebat. Maka tiada diberi Sultan Mansur Syah; titah ba­ginda: "Jikalau tuan Hamba sekalian salah seorang bermara, jika seribu sekalipun nyawa si Jebat, masa kita samakan dengan tuan-tuan sekalian." Maka segala Orang Besar-besar itu pun diamlah.

Maka Sultan Mansur Syah pun murka akan segala hulu­balang muda-muda, oleh tiada mau menaiki Hang Jebat itu. Maka segala hulubalang yang muda-muda itu pun semuanya pergi, hendak menaiki Hang Jebat itu. Baharu hingga semata tangga, diterpa oleh Hang Jebat; sekalian habis terjun me­nyampakkan dirinya ke tanah. Setelah dilihat oleh Sultan Mansur Syah perihal itu, maka baginda pun mengenang Hang Tuah pula. Telah tiga kali Sultan Mansur Syah menyebut-nyebut Hang Tuah itu, maka Seri Nara Diraja pun berdatang sembah: "Tuanku, patik me­mohonkan ampun, mengapatah duli tuanku sangat amat memohonkan ampun, mengapatah duli tuanku sangat amat mengenang Hang Tuah, orang yang sudah mati; patik pun adalah khilaf, kerana belum patut hukumnya mati; kerana Hang Tuah bukan barang-barang Hamba ke bawah duli Yang Dipertuan. Maka titah Sultan Mansur Syah, "Sebab itulah maka kita mengenang Si Tuah. Jika ia ada, tadilah sudah di­hapuskan pekerjaan si derhaka itu; sayang si Tuah tiada!"

Dilihat Seri Nara Diraja Sultan Mansur Syah sangat-sangat mengenang Hang Tuah itu, maka sembah Seri Nara Diraja: "Tuanku, jikalau sekiranya Hang Tuah seperi-perinya ada hidup, adakah ampun duli Yang Dipertuan akan dia?" Maka titah Sultan.Mansur Syah, "Adakah si Tuah Seri Nara Diraja taruh?" Maka sembah Seri Nara Diraja, "Tuanku, gila apakah patik menaruh Hang Tuah. Duli tuanku menyuruh membuangkan dia, sudahlah patik buangkan; maka patik berdatang sembah demikian sebab duli Yang Dipertuan sangat mengenang dia.
Jikalau ada kiranya ia, adakah ampun duli Yang Dipertuan akan dia?" Maka titah Sultan Mansur Syah, "Jikalau ada si Tuah itu, jika seperti Bukit Kaf sekalipun besar dosanya, nescaya kita ampuni. Hanya kepada bicara kita ada juga si Tuah. Jikalau ada segeralah bawa ke mari, supaya kita ampuni; kita suruh­kan membunuh si Jebat." Maka sembah Seri Nara Diraja, "Ampun tuanku beribu­ ribu ampun atas batu kepala patik. Tatkala titah duli Yang Dipertuan menyuruh membunuh Hang Tuah itu, maka fikir patik belum patut Hang Tuah itu dibunuh sebab dosanya itu. Hang Tuah bukan barang-barang Hamba ke bawah duli Yang Dipertuan; kalau-kalau ada perkenaannya kepada kemudian hari. Sebab itulah maka ia patik taruh pada dusun anak patik, patik suruh pasung; melainkan ampun ke bawah duli Yang Dipertuan juga akan patik."

Maka Sultan Mansur Syah pun terlalu sukacita mendengar sembah Seri Nara Diraja itu. Maka titah baginda, "Syabas! Bahawa Seri Nara Dirajalah sempurna Hamba." Maka di­ anugerahi baginda persalin dengan sepertinya. Maka titah ba­ginda pada Seri Nara Diraja, "Segeralah si Tuah suruh bawa ke mari." Maka Seri Nara Diraja pun menyuruhkan orang mengam­bil Hang Tuah; maka Hang Tuah datanglah dibawa orang ke hadapan Sultan Mansur Syah. Pucat, kurus, berjalan teranggar-­anggar. Miskinan Hang Tuah belas segala yang memandang, kerana lama dalam pasungan.

Setelah Sultan Mansur Syah melihat Hang Tuah datang, maka dianugerahi baginda ayapan. Setelah sudah Hang Tuah makan, maka oleh Sultan Mansur Syah diambil keris daripada pinggang baginda, dianugerahi pada Hang Tuah; maka titah baginda, "Basuhkan arang di muka aku." Maka sembah Hang Tuah, "lnsya-Allah Taala, baiklah tuanku." Maka Hang Tuah pun menjunjung duli, lalu pergi mendapatkan Hang Jebat.

SULALATUS SALATIN-49



Image result for raja cina
Kedal Kerana Tulah?

Sebermula tatkala sampai Lak Di Po dengan menteri yang menghantarkan Tuan Puteri Hang Liu itu ke benua China, persembahan raja Melaka itu pun diarak masuk ke dalam. Maka disuruhnya baca kepada Perdana Menteri. Setelah di ketahuinyalah ertinya, maka terlalulah sukacita raja China. mendengar raja Melaka berkirim sembah kepadanya itu. Ada selang dua hari, dengan takdir Allah Taala maka raja China pun datanglah penyakit gatal semua tubuh baginda, lalu men­jadi kedal. Maka raja China pun menyuruh memanggil tabib minta ubati. Makin diubati oleh tabib, semakin sangat ke­gatalan. Maka beberapa ratus tabib disuruh raja China meng­ubati baginda, tiada juga sembuh. Maka ada seorang tabib tua berdatang sembah pada raja China, demikian sembahnya, "Tuanku seri kopiah, adapun penyakit kenohong ini tiada akan terubati oleh patik-patik sekalian; kerana penyakit ini bersebab datangnya." Maka titah raja China, "Apa sebabnya penyakit ini?" Maka sembah tabib tua itu, "Tuanku ini tulah, kerana raja Melaka berkirim sembah itu, Jikalau tiada air basuh kaki raja Melaka, tuanku santap dan dibasuhkan muka tuanku yang telah kedal anjing itu, tiadalah akan sembuh penyakit tuanku ini."

Setelah raja China mendengar sembah tabib tua itu, maka baginda pun menitahkan utusan ke Melaka, minta air basuh kaki raja Melaka; setelah hadir maka utusan itu pun belayar­lah. Berapa lamanya di jalan, sampailah ke Melaka. Maka di­persembahkan oranglah kepada Sultan Mansur Syah, mengata­kan utusan raja China datang hendak meminta air kaki duli Yang Dipertuan. Maka Sultan Mansur Syah pun keluar semayam balairung dihadap orang. Maka surat raja China itu pun diarak oranglah ke balairung; maka disuruh baca pada khatib. Setelah tau baginda akan ertinya maka oleh Sultan Mansur Syah diberi baginda air basuh kaki. Maka surat pun dibalas, dan utusan China pun dipersalin. Maka surat dan air basuh kaki baginda itu pun diarak oranglah ke perahu. Maka utusan raja China pun belayarlah.

Setelah berapa lamanya di jalan maka sampailah ke benua China. Maka surat dan air basuh kaki raja Melaka itu pun di­arak ke dalam. Tiadalah sempat raja China membaca sur at itu lagi; air basuh kaki Sultan Mansur Syah itu pun disantap, di­mandi dan dibasuhkan muka baginda. Maka dengan sesaat itu juga penyakit kedal tubuh baginda itu pun hilanglah. Maka raja China pun sembuhlah, dan baginda bersumpah tiada mau disembah oleh segala anak cucu raja Ujung Tanah datang se­karang. Maka titah raja China, "Segala anak cucu kita jangan lagi berkehendak disembah raja Melaka datang kepada anak cucu raja Melaka, kadar muafakat berkasih-kasihan jua."

SULALATUS SALATIN-48



Puteri Raja China ke Melaka

Maka raja China pun memberi titah pada Li Po, menyuruh berlengkap perahu akan menghantar anakanda baginda ke Melaka seratus buah pilau; seorang menteri yang besar akan panglimanya, Lak Di Po namanya. Setelah sudah lengkap, maka raja China pun memilih anak para menteri China yang perempuan, baik-baik parasnya, lima ratus orang akan dayang­dayang anakanda baginda; dan anak menteri yang lelaki lima ratus orang juga banyaknya, akan barang-barang gunanya kepada anakanda baginda. Setelah itu maka Tuan Puteri Hang Liu serta surat pun diaraklah ke perahu, maka Tun Perpatih Putih dan Tuan Puteri pun belayarlah.

Hatta berapa lamanya di jalan sampailah ke Melaka, maka di persembahkan orang kepada Sultan Mansur Syah mengata­kan Tun Perpatih Putih datang, membawa puteri anak raja China. Maka Sultan Mansur Syah pun terlalu sukacita. Baginda pun berangkat diiringi segala Orang Besar-besar mengalu-alu­kan anak raja China itu. Setelah bertemu maka dengan seribu kebesaran dan kemuliaannya, serta dibawa baginda masuk ke dalam negeri, lalu ke istana sekali. Maka Sultan Mansur Syah pun hairan melihat baik paras puteri anak raja China itu, di­sebut-sebut baginda Tabarakal'llahu ahsanul khaliqin Allahu Rabbul 'alamin. Maka Puteri Hang Liu dengan segala anak menteri China lelaki dan perempuan sekalian pun, semuanya diislamkan bagindalah.
Setelah itu maka Sultan Mansur Syah pun kahwinlah dengan anak raja China, Puteri Hang Liu itu.

Syahadan berapa lamanya beranaklah seorang lelaki,. di­namai baginda Paduka Haruimat, ialah beranakkan Seri China, ayah Paduka Ahmad, ayah Paduka Isak. Maka segala anak menteri China itu disuruh diam di bukit, di luar kota; maka disebut orang bukit itu 'Bukit China' datang sekarang, dan mereka itulah yang menggali perigi di Bukit China, dan anak cucu orang itulah yang dinamai biduanda China. Maka Sultan Mansur Syah pun menyuruhkan Lak Di Po kembali, serta di­persalin baginda dengan segala menteri China yang sertanya itu, Berapa lamanya maka musim pun telah adalah, Lak Di Po pun bermohonlah lalu belayar kembali.

Maka Tun Telanai dan Men­teri Jana Putera dititahkan baginda utusan ke China. Bahawa barulah Sultan Mansur Syah berkirim sembah pada raja China, kerana sudah menjadi menantu; hanya demikian bunyinya: "Sahaya anak raja Melaka, empunya sembah pada raja benua China." Seperti surat yang dibawa Lak Di Po, maka pada Tun Telanai pun demikianlah juga. Maka Tun Telanai pun belayarlah ke benua China. Dengan takdir Allah Taala angin besar pun turun, maka Tun Telanai dengan kedua buah perahu itu pun biaslah, jatuh ke Brunei.

Setelah didengar oleh raja Brunei, maka disuruh baginda panggil; maka Tun Telanai dan Menteri Jana Putera pun masuk mengadap raja Brunei. Maka raja Brunei pun ber­tanya pada Tun Telanai, "Apa bunyi surat raja Melaka pada raja China?" Maka sembah Tun Telanai, "Sahaya raja Melaka empunya sembah, datang kepada paduka ayahanda raja China." Maka kata raja Brunei, "Berkirim sembahkan raja Melaka pada raja China?" Maka Tun Telanai diam, lalu Men­teri Jana Putera berkisar ke hadapan; maka sembahnya, "Tidak tuanku paduka ayahanda berkirim sembah kepada raja China, kerana erti 'sahaya' itu pada bahasa Melayu 'Hamba'; maka Hamba paduka ayahandalah yang berkirim sembah kepada raja China, bukannya paduka ayahanda." Maka raja Brunei pun diam mendengar sembah Menteri Jana Putera itu.

Setelah datang musim akan pulang, maka Turi Telanai dan Menteri Jana Putera pun bermohonlah kepada Sang Aji Brunei, hendak kembali. Maka raja Brunei pun berkirim surat sembah ke Melaka, demikian bunyinya: "Paduka anak-anda empunya sembah, datang ke bawah duli paduka ayahanda... " Setelah itu maka Tun Telanai dan Menteri Jana Putera pun belayarlah kembali. Berapa lamanya di jalan maka sampailah ke Melaka. Maka surat raja Brunei itu pun dibawanya. masuk mengadap, dipersembahkannya segala hal-ehwalnya. Maka terlalulah sukacita baginda mendengar dia, lalu baginda memberi anugerah akan Tun Telanai dan Menteri Jana Putera. Beberapa puji baginda akan Menteri Jana Putera dan dipersalin baginda selengkapnya.